KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan pembekalan bahan api diesel ke Filipina.
Pihak berkuasa mengesahkan, diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau kerajaan.
Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, individu terbabit telah dipanggil bagi memberi keterangan di pejabat MCMC di Cyberjaya, semalam.
Turut disita adalah peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan, bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat dan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















