KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang sejak 15 April lalu selepas keluar rumah untuk bersiar-siar bersama rakan-rakannya di Bandar Baru Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang memaklumkan anak perempuannya, Puteri Nur Quraitul Aini Abdullah, keluar dari rumah kira-kira pukul 12 tengahari selepas menghantar mesej memaklumkan hasrat untuk keluar bersama rakan.
Menurut beliau, sehingga kini remaja tersebut masih belum pulang ke rumah dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
“Lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di Gladen Court CE-3-15, Jalan Wawasan 1/10, Bandar Baru Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Remaja itu mempunyai ketinggian 167 sentimeter dengan berat badan sekitar 49 kilogram.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Nur Faizah Mohd Anuar di talian 017-3422804 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai turut digesa menghubungi pihak berkuasa atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya memerlukan bantuan segera. – MalaysiaGazette
















