KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, MIC masih kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu menafikan pernah menghantar surat memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Mereka (MIC) tidak pun menyatakan untuk keluar daripada BN secara rasmi walaupun ada surat yang telah dihantar kepada PN tetapi sebaliknya, mereka menafikan bahawa mereka pernah memohon menyertai parti berkenaan walaupun ada surat memperlihatkan begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA 2026 Ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Turut hadir, Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sebelum ini Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan, keputusan parti itu kekal bersama BN.
Katanya keputusan berkenaan susulan terdapat perubahan kepemimpinan dalam PN.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka ditangguhkan, Zahid berkata ia bukan pendirian rasmi UMNO dan BN.
“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian UMNO atau BN,” ringkasnya.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO iberkata cadangan itu disuarakannya selepas melihat susulan krisis geopolitik Asia Barat pada masa ini. -MalaysiaGazette
















