KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras usaha bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi menyediakan bantuan asas serta penempatan sementara kepada mangsa kebakaran rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah yang memusnahkan ratusan kediaman, awal pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa terkesan dengan insiden itu menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan mangsa terjejas selain menyalurkan bantuan segera di lapangan.
“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung.
“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” katanya.
Dalam pada itu, situasi kebakaran yang marak dapat dilihat menerusi gambar dikongsikan, memperlihatkan api menjulang tinggi memusnahkan kawasan penempatan atas air berkenaan.
Terdahulu, kebakaran tersebut dilaporkan melibatkan kira-kira 200 buah rumah dengan kebanyakan struktur musnah sepenuhnya.
Pihak berkuasa kini giat menjalankan operasi serta penilaian bagi membantu mangsa terlibat, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















