Banduan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh berjaya ditahan semula semalam.

KUALA LUMPUR – Banduan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh akhirnya berjaya ditahan semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IP) Selangor mengesahkan penahanan suspek  dibuat sekitar pukul 5 petang.

“Polis mengesahkan banduan yang meloloskan diri pada 9 April lalu telah berjaya ditangkap semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama.

“Polis merakamkan perhargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan itu berjaya ditahan semula bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki warga Pakistan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu ketika dalam tahanan reman termasuk atas kes seksual terhadap kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika proses menghantar tahanan reman ke Penjara Sungai Buloh oleh Cawangan Pengawal Pengiring Shah Alam.

Pada hari kejadian, tahanan reman itu baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.

Setiba di padang kawad Penjara Sungai Buloh, suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, bagaimanapun meloloskan diri ketika turun dari kenderaan polis dengan memakai kemeja-T berwarna oren serta seluar panjang hitam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast