KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, bersama Mazlan Jusoh dan syarikat penerbit Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selepas mencapai penyelesaian dalam kes saman fitnah di Mahkamah Sesyen hari ini.
Permohonan maaf itu dibacakan di mahkamah terbuka sebagai sebahagian daripada terma Penghakiman Persetujuan yang direkodkan antara kedua-dua pihak, menamatkan prosiding saman sivil difailkan pada 2023.
Dalam kenyataan tersebut, pihak defendan mengakui kenyataan yang dibuat oleh Zulkifli semasa program ‘Solidarity for Palestine’ pada 5 November 2023, sebelum diterbitkan semula oleh Mazlan dan syarikat berkenaan melalui portal Harakahdaily serta akhbar Harakah.
Difahamkan terbitan tersebut menimbulkan pelbagai tafsiran dan salah faham terhadap Fadhlina sehingga menjejaskan reputasinya.
Mereka turut mengakui bahawa pihak sekolah sebenarnya dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.
“Sehubungan itu, kami memohon maaf kepada YB Fadhlina Sidek atas kenyataan-kenyataan tersebut,” menurut kenyataan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Sebagai sebahagian penyelesaian, mereka bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina serta menarik balik sepenuhnya kenyataan terbabit tanpa sebarang syarat.
Defendan juga memberi akujanji tidak akan mengulangi, menerbitkan atau menyebarkan semula kenyataan berkenaan dalam apa jua bentuk, termasuk melalui media sosial, cetak atau elektronik selain memadamkan kandungan tersebut di bawah kawalan mereka.
Kes berkenaan diselesaikan tanpa perbicaraan penuh selepas kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian dengan mengambil kira kos perundangan serta keperluan memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar demi kepentingan negara.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan kos RM15,000 yang diterima akan disumbangkan bagi penganjuran Minggu Solidariti Palestin di kawasan Jasin, Melaka.
Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada mahkamah dan peguam yang terlibat serta berharap penyelesaian tersebut tidak disalah tafsir atau dijadikan isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. -MalaysiaGazette















