KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Ampang dan Cheras dekat sini, berjaya ditahan di Jalan Mega 7, Taman Mega Jaya, Ampang, Selangor, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, tangkapan ke atas suspek berumur 23 tahun itu dibuat pada pukul 7.27 petang.
Menurutnyta, hasil pemeriksaan pada suspek menjumpai sebanyak sembilan paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 9.16 gram.
“Semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai lima rekod berkaitan kes narkotik dan 11 rekod kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dan mengedar dadah di sekitar kawasan Ampang dan Cheras.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan,” jelasnya,. – MalaysiaGazette
















