Seramai 34 lelaki dijatuhkan hukuman denda antara RM2000-RM3000 selepas kesemua mereka mengaku bersalah menyertai rusuhan dan kianat di sebuah pusat hiburan di Cheras minggu lalu ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 33 lelaki yang sebelum ini hanya didenda atas kesalahan merusuh di sebuah pusat hiburan di Cheras, kini diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini campur tangan menyemak keputusan itu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menggunakan kuasa semakan untuk mengetepikan hukuman denda yang diputuskan Mahkamah Majistret selepas mendapati hukuman tersebut tidak memadai berdasarkan fakta kes.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Mohd Nordin Ismail serta peguam bela, Damien Chan.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula serta-merta.

Seorang lagi tertuduh, A. Ganesan yang gagal hadir ke prosiding dikenakan waran tangkap.

Suasana di dalam mahkamah bertukar tegang seketika sejurus keputusan dibacakan dengan beberapa tertuduh dilihat terkejut apabila hukuman denda yang sebelum ini dikenakan digantikan dengan pemenjaraan.

Pada 10 April lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda terhadap 34 lelaki selepas mereka mengaku bersalah terbabit dalam insiden rusuhan di premis hiburan tersebut pada 5 April lalu.

Dalam keputusan itu, 32 tertuduh berusia antara 21 hingga 57 tahun didenda RM3,000 setiap seorang atau berdepan penjara empat bulan jika gagal membayar.

Dua lagi tertuduh berusia 19 tahun pula dikenakan denda RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Kes ini menjadi perhatian kerana penggunaan senjata api dan bahan letupan yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast