Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) serta pihak pengurusannya tiada kaitan dalam kes penyelewengan dana zakat membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, memandangkan siasatan kes itu masih berjalan, pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang yang menyeluruh.

Jelas beliau, pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan, termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus secara teratur dan terkawal.

“Sehubungan itu, Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat serta memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, orang awam disarankan untuk merujuk kepada saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta menunaikan zakat melalui platform yang sah di www.zakatselangor.com.my.

Terdahulu, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman empat hari di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Perintah reman sehingga 25 April ini terhadap kedua-dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara pukul 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2 petang.

Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.

Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan bagi tujuan peribadi.

Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast