Anggota JIM melakukan pemeriksaan dan menahan warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, Johor Bahru, malam kelmarin.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 37 warga asing dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini malam kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan dilakukan pukul 11 malam hasil risikan dan pemantauan rapi terhadap premis yang disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, menerusi serbuan itu seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati warga asing yang ditahan dari Thailand, Filipina, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China dan Vietnam. Majoritinya wanita bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, semua individu berusia antara 20 hingga 53 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut beliau, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut, manakala satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu proses siasatan.

Dalam pada itu, katanya, JIM Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru kerjasama berterusan dalam memerangi isu penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast