KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Media sebelum ini melaporkan, kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijadualkan berakhir kurang sebulan lagi iaitu pada 12 Mei depan, selain beberapa nama dikatakan diteliti sebagai pengganti.
Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024; 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.
Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















