Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) buat kali pertamanya memperkenalkan aplikasi Muhsen dalam usaha menambah baik perkhidmatan dan pengurusan jemaah Malaysia bagi musim haji 1447H.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, dengan aplikasi ini para jemaah haji boleh mendapatkan perkhidmatan daripada individu-individu yang dilantik untuk membantu jemaah haji dalam menjalani kehidupan, pergerakan dan ibadah sepanjang 40 hingga 45 hari di Tanah Suci.

Pasukan Muhsen ini terdiri daripada penuntut yang sedang belajar di Universiti Madinah dan Universiti Umm Qura di Makkah dan boleh berbahasa Melayu dan Arab supaya jemaah haji dapat berkomunikasi baik dengan mereka.

Menurutnya, kira-kira 1,000 orang akan terlibat dalam perkhidmatan ini dengan nisbah satu Muhsen bagi 25 orang jemaah haji.

“Sebagai contohnya, pasukan Muhsen ini akan membantu pergerakan jemaah haji di Madinah terutama untuk urusan memasuki Rawdah. Muhsen ini akan berada di bangunan penginapan jemaah haji bagi membantu apa jua bantuan yang diperlukan oleh jemaah haji termasuk bantuan membeli barang hadiah pun boleh dibantu oleh mereka.

“Dan selebihnya, yang paling penting sekali ialah semasa kemuncak haji ketika operasi Masyair, mereka (Muhsen) ini akan membantu memastikan program ataupun pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah, selebihnya ke Mina dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya selepas majis Pengurus Maktab dan Markaz Dhiyafah: Majlis Ta’aruf Operasi Haji di sini, malam tadi.

Mohd Hisham berkata, perkhidmatan ini adalah hasil kerjasamanya dengan Holiday Inn Bakah.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, penambahbaikan perkhidmatan ini sebenarnya membantu TH untuk terus memberi perkhidmatan terbaik buat jemaah haji Malaysia kerana sejak beberapa tahun ini setiap negara hanya boleh membawa 1 peratus petugas daripada jumlah keseluruhan jemaah haji masing-masing.

Namun, TH mendapat membawa 2 peratus petugas (daripada 31,600 jemaah Malaysia) susulan kejayaan besar menerima Anugerah Labbaittom (Diamond Award) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Majlis Penutupan Musim Haji 1446H/2025M.

“Jadi dengan adanya perkhidmatan Muhsen ini, TH dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik buat jemaah haji,” katanya sambil menambah perkhidmatan ini sudah termasuk dalam pakej haji.

Jelas beliau, untuk memastikan keberkesanan Muhsen, jemaah haji akan diberi borang penilaian kepuasan pelanggan untuk menilai dan mengulas perkhidmatan ini.

“Kita akan berikan borang ini kepada jemaah dan TH akan mengetahui maklum balas jemaah haji tentang perkhidmatan ini selepas musim haji berakhir,” katanya.

Mohd Hisham berkata, TH telah menguar-uarkan perkhidmatan pasukan Muhsen ini di Movenpick, Sepang, selain melalui taklimat haji tentang perkhidmatan ini.

“Tetapi apabila jemaah tiba di sini nanti, mereka akan memahani lebih lanjut perkhidmatan ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast