JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu kes-kes bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 disegerakan pendakwaannya di mahkamah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia melibatkan keseluruhan proses tindakan undang-undang membabitkan kesalahan di bawah akta tersebut.
Beliau memberitahu, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 6 April lalu.
“Ini meliputi proses siasatan, pendakwaan dan pendengaran di mahkamah. Pendekatan ini diambil untuk memastikan pemerkasaan penguatkuasaan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan khususnya bahan api petrol dan diesel terlaksana secara berkesan.
“Pihak-pihak yang bertanggungjawab itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.
“Ini bagi menjamin kelangsungan keterjaminan bekalan untuk rakyat dan kegunaan dalam negara secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Minyak Shell Taman Mount Austin di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan keputusan itu, KPDN berbincang dengan pihak-pihak berkaitan dan sudah mendapat maklum balas positif daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Katanya, KPDN juga memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi kes-kes serahan daripada agensi penguatkuasaan lain kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN bagi mastikan proses penyediaan kertas siasatan dapat dilengkapkan segera untuk dipanjangkan kepada AGC.
“Antara cadangan yang dikemukakan ialah penambahbaikan di peringkat kehakiman seperti penyediaan saluran fast track, penetapan hakim khusus (designated judge) dan penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi dan institusi bagi mempercepatkan proses pendengaran dan seterusnya pelupusan kes dalam tempoh munasabah,” katanya.
Tambahnya, keutamaan akan diberikan kepada pendakwaan kes-kes kartel sindiket serta pendekatan bersasar seperti perundingan akuan (plea bargaining) bagi kes-kes kecil.
Jelasnya, cadangan itu untuk mempercepat dan memperkukuh tindakan pendakwaan secara lebih berkesan, sekali gus memberi isyarat tegas bahawa aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan tidak akan dikompromi.
Fokus JTPAP, katanya, adalah memastikan kes-kes yang dihasilkan melalui Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan segera diselesaikan ke peringkat pendakwaan dan pendengaran di mahkamah.
“Ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membanteras aktiviti penyelewangan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api dalam tempoh krisis tenaga global yang berlaku akibat konflik Asia Barat.
“Tindakan penguatkuasaan yang agresif dan tegas ini penting apabila konflik yang berlarutan sejak 28 Februari lalu membawa bukan sahaja krisis tenaga global, tetapi kini memasuki fasa krisis bekalan global dan Malaysia tidak terkecuali dalam menerima implikasi yang semakin membesar,” katanya.
Beliau berkata, susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, JTPAP telah diaktifkan serta-merta dan OPS TIR (Bersepadu) berkuat kuasa bermula 16 Mac lalu.
Ujar beliau, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa berkaitan meliputi tiga sektor utama iaitu daratan, perairan dan sempadan.
Agensi peneraju utama bagi sektor darat diterajui KPDN manakala sektor sempadan diterajui polis dan sektor perairan diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang kedua-duanya merupakan agensi di bawah KPDN, katanya. – MalaysiaGazette
















