MAKKAH – Semua jemaah haji Malaysia dinasihatkan memakai kad nusuk sepanjang masa ketika berada di luar penginapan masing-masing.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir menegaskan, kad nusuk itu merupakan salah satu pengenalan diri jemaah dan juga permit untuk memasuki tempat-tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
“Jadi adalah penting supaya semua jemaah kita sentiasa menjaga keselamatan kad nusuk itu, sentiasa memakainya, mempamernya terutama bila berada di tempat awam kerana pihak berkuasa Arab Saudi akan berada di merata-rata, dia akan sentiasa scan (imbas kad nusuk), semak dan sebagainya,” katanya di sini.
Terdahulu, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir bersama para petugas Lembaga Tabung Haji menyambut ketibaan kumpulan jemaah haji pertama Malaysia di Abraj Al Tayseer.
Beliau turut mengingatkan agar jemaah haji Malaysia tidak meminjamkan kad nusuk masing-masing kepada orang lain.
Ia kerana, kad berkenaan adalah satu-satunya bukti pengenalan diri yang ada pada diri jemaah-jemaah sepanjang berada di Tanah Suci, ujar beliau. – MalaysiaGazette
















