KUALA LUMPUR – Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Saraya di Ampang membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah hari ini susulan dakwaan gangguan pihak tertentu terhadap pengurusan surau berkenaan.
Pengerusi Surau Jumaat Taman Saraya, Abdullah Sulaiman berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa isu dibangkitkan termasuk bantahan terhadap azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.

Menurut beliau, antara perkara yang menimbulkan ketegangan apabila terdapat pihak yang mendakwa laungan azan mengganggu mereka selain meminta supaya solat berjemaah dihentikan.
“Pertama, mereka mengatakan azan yang dilaksanakan sekarang ini mengganggu. Kedua, solat berjemaah yang telah diumumkan diminta untuk ditutup. Ketiga, persiapan ruang luar untuk solat juga tidak dipersetujui sehingga kami diminta tidak memasang lampu,” jelasnya.
Tambah Abdullah, isu tersebut sebenarnya telah berlarutan sejak kira-kira lima tahun lalu namun semakin memuncak sejak kebelakangan ini.
“Perkara ini sudah lama berlaku tetapi sekarang tahapnya semakin serius apabila ketiga-tiga isu ini berlaku serentak,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















