JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dan ia akan diberitahu kelak.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perkara tersebut pagi tadi.
“Nanti saya akan umumkan kemudian (nama Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu) nanti. Saya sudah mengadakan perbincangan Tuanku (Sultan Ibrahim) tadi,” katanya ringkas kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen, Hassan Abdul Karim.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Titah baginda, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) seperti dikongsikan dalam akaun Facebook rasmi baginda, semalam.
Justeru, baginda bertitah dan menegaskan, tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Ditanya mengenai nama-nama calon yang diserahkan kepada Sultan Ibrahim, Anwar enggan mengulas mengenai pertanyaan tersebut.
“Nama yang layak ada 120 (orang calon),” katanya berseloroh.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu juga sempat beramah mesra bersama komuniti tempatan di Permas Jaya sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya di sini yang disertai lebih 1,500 jemaah, termasuk Onn Hafiz.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
`Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini’ – Agong
















