KUALA LUMPUR – Ops Tiris secara keseluruhannya berjaya mencatatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM263.41 juta daripada 6,773 kes dikesan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, Ops Tiris 3.0 merekodkan rampasan paling tinggi mencecah RM188.22 juta.
Jelas beliau, ia sekali gus menyumbang sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan operasi.
“Keberkesanan operasi ini bukan sahaja diukur melalui nilai rampasan yang besar malah melalui tindakan penguatkuasaan bersepadu yang konsisten bagi memastikan barang bersubsidi sampai kepada golongan sasaran seterusnya meminimumkan kerugian negara akibat aktiviti penyelewengan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Azman, fasa terbaharu Ops Tiris 4.0 juga menunjukkan momentum penguatkuasaan yang memuaskan dengan RM16.85 juta nilai rampasan dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, katanya, KPDN terus memperkukuh kedaulatan undang-undang di ruang digital dengan menyekat 1,347 laman sesawang dan penurunan 746 kandungan iklan yang menyalahi undang-undang bagi tempoh 2025 sehingga April 2026.
“Selain memantau dan mengambil tindakan segera ke atas lebih 18,000 isu tular bagi mengekang penyelewengan,” tambahnya.
Azman berkata, kecemerlangan KPDN dalam membanteras cetak rompak digital melalui tindakan site blocking telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Asia Video Industry Association (AVIA) menjadikan KPDN sebagai penanda aras (benchmark) serantau.
“Seterusnya dijemput berkongsi kepakaran dalam sesi State of Piracy Roundtable di Singapura pada penghujung 2025.
“Pencapaian ini membuktikan kredibiliti KPDN dalam mengimbangi kepantasan teknologi dengan ketegasan penguatkuasaan, sekali gus melindungi industri hak cipta dan ekosistem e-dagang negara daripada ancaman siber,” jelasnya.
Selain itu, Bahagian Penguat kuasa KPDN turut melaksanakan pembekuan aset berjumlah RM9,920,308.35 dan menyita aset bernilai RM5,141,123.37 menerusi Op Hasil.
Melalui Ops Kesan 4.0 dan 5.0 pemantauan rapi dilakukan terhadap impak pelarasan subsidi bersasar dan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2.0 yang mana sebanyak 1,443 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai kompaun berjumlah RM142,200. – MalaysiaGazette
















