JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memperhalusi cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam seperti yang dinikmati pelajar matrikulasi ketika ini.
Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut selari dengan langkah pengambilalihan pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Elaun Tingkatan Enam dengan matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti, sebab keputusan dasar telah dibuat cuma hanya kaedah pelaksanaan (sedang dibincang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menjawab soalan seorang pelajar Tingkatan Enam berkaitan sebab mereka tidak mendapat elaun seperti matrikulasi yang mana kedua-duanya pada tahap pendidikan prauniversiti.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelajar Tingkatan Enam harus diletakkan di bawah KPT kerana merupakan sebahagian daripada kategori pasca persekolahan.
Justeru, jelas beliau, kemudahan termasuk pemberian biasiswa untuk pelajar prauniversiti seperti Tingkatan Enam atau matrikulasi harus diberikan kepada pelajar.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.- MalaysiaGazette
















