Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pertubuhan Aktivis Taat Setia (ATS) meminta Malaysia International Humaitarian Organisastion (MHO) menarik balik kenyataan bahawa pihaknya terlibat dalam insiden empat pemuda dari Ayer Baloi, Pontian, diperdaya sebelum dipaksa menjadi scammer di Kemboja.

Pengerusi ATS, Zulnizam Zainal Abidin menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang terhadap MHO.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang sekiranya terdapat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau tohmahan tanpa asas yang sah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan MHO berhubung dakwaan penglibatan pihak tertentu dalam kes membabitkan empat pemuda dari Ayer Baloi, Pontian yang dikaitkan dengan aktiviti sindiket penipuan di Kemboja,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim didapati tidak tepat, malah tidak disokong bukti kukuh dan berpotensi mengelirukan masyarakat.

“Pihak kami menegaskan sebarang dakwaan berkaitan jenayah serius seperti pemerdagangan manusia dan kegiatan sindiket penipuan perlu melalui proses siasatan terperinci oleh agensi penguatkuasaan yang berwajib sebelum sebarang kenyataan dibuat kepada umum.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi individu atau organisasi yang tidak berkaitan.

“Ini termasuk tidak mengganggu proses siasatan yang sedang atau akan dilakukan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut mendesak MHO menarik balik kenyataan yang dikeluarkan kerana jelas memburukkan imej pertubuhan kebajikan tersebut.

Kelmarin, empat pemuda berkenaan dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur mendakwa melalui detik hitam apabila diperdaya tawaran kerja lumayan sebelum dipaksa menjadi scammer di Kemboja selepas menyertai (ATS).

Hishamuddin dilaporkan berkata, mereka yang merupakan rakan sekampung direkrut seorang individu dikenali sebagai ‘Mr. A’ sebelum dibawa bertemu seorang ketua dikenali sebagai ‘Daddy T’ yang kemudian menawarkan pekerjaan di Laos dengan alasan hanya perlu ‘ikut skrip’.

“Tanpa menyedari helah sindiket, kesemua mangsa bersetuju dan diarahkan menipu keluarga dengan memaklumkan mereka bekerja di Singapura, sebelum dibawa ke rumah transit dan seterusnya ke KLIA,” katanya.

Mangsa kemudian diterbangkan ke Siem Reap, Kemboja sebelum melalui perjalanan hampir lapan jam ke Sihanoukville, lokasi sebenar mereka dipaksa bekerja sebagai scammer yang menyasarkan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast