Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan keputusan mahkamah menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura, dalam kes saman fitnah tiga pemimpin DAP sebagai bukti tuduhan tidak berasas tidak boleh dipertahankan.

AMK Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, keputusan itu menegaskan bahawa sebarang tuduhan tanpa fakta tidak boleh dipandang ringan dan mempunyai implikasi undang-undang serius, selain prinsip kebertanggungjawaban terpakai kepada semua pihak termasuk Ahli Parlimen.

“Perkembangan ini mencerminkan satu corak yang semakin membimbangkan dalam politik semasa apabila tuduhan tidak berasas dijadikan alat untuk meraih sokongan tanpa mengambil kira kesan terhadap reputasi individu serta keharmonian masyarakat.

“Lebih membimbangkan, tindakan sedemikian dilihat berulang sehingga menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti serta kebertanggungjawaban kepimpinan terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

AMK Pulau Pinang turut merujuk insiden membabitkan Ahli Parlimen Pas Jasin yang tampil memohon maaf kepada Fadhlina Sidek berhubung kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan.

Menurutnya, situasi itu menggambarkan realiti membimbangkan apabila fitnah dilemparkan terlebih dahulu sebelum pembetulan dibuat selepas proses perundangan atau tekanan awam.

“Lebih mendukacitakan, tindakan menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas ini jelas bertentangan dengan prinsip asas Islam yang menuntut kebenaran, amanah serta larangan keras terhadap fitnah.

“Kita berpandangan persepsi terhadap Pas sebagai parti yang kerap terpalit dengan isu kenyataan berunsur fitnah sehingga membawa kepada tindakan undang-undang wajar diberi perhatian serius.

“Rakyat kini semakin matang dalam menilai tindak-tanduk pemimpin politik, khususnya yang berulang kali terpalit dengan penyebaran maklumat tidak sahih,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia memerlukan landskap politik lebih bertanggungjawab, berteraskan fakta serta menghormati prinsip kebenaran kerana politik fitnah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkannya membayar ganti rugi termasuk kos berjumlah RM825,000 kerana memfitnah tiga pemimpin DAP yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang bersidang bersama-sama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, menolak rayuan Siti Mastura selepas mendapati ia tidak mempunyai merit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast