KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran hanya jemaah yang memiliki visa haji sah dibenarkan menunaikan ibadah haji dan rakyat Malaysia diingatkan agar tidak ke Tanah Suci secara persendirian (DIY) kerana risiko keselamatan dan kebajikan tidak dapat dilindungi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu merupakan antara fokus utama dalam memastikan keselamatan jemaah haji negara sentiasa terjamin, selain mengelakkan sebarang risiko termasuk masalah kesihatan tanpa perlindungan sewajarnya.
Menurut beliau, kejayaan usaha tersebut bergantung kepada kerjasama dan kesedaran masyarakat untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi di bawah jabatan di Kompleks Islam Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 APRIL 2026
Beliau menjelaskan, hanya jemaah dengan visa haji sah dibenarkan memasuki kawasan utama ibadah seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina, manakala pelanggaran peraturan boleh membawa kepada tindakan tegas termasuk denda, penjara serta sekatan memasuki Tanah Suci pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa kemasukan ke Mekah bagi tujuan haji tertakluk kepada pemilikan visa haji sah atau dokumen rasmi seperti Iqamah dan permit kerja, manakala visa lawatan termasuk visa umrah, pelancongan dan perniagaan adalah dilarang untuk tujuan tersebut.
Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga SR100,000, manakala warga asing berdepan risiko pengusiran.
Selain itu, mana-mana pihak yang membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000.
Mengulas mengenai kempen ‘No Visa, No Hajj’, beliau berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan seruan kerajaan Arab Saudi yang giat mempromosikan pematuhan peraturan haji.
Katanya, kempen tersebut juga disokong oleh Muzakarah Haji yang telah mengeluarkan pandangan berhubung kepentingan pematuhan syarat visa.
“Tujuan utama kempen ini adalah untuk menjaga kemaslahatan jemaah haji serta keselamatan umat Islam, di samping membanteras penipuan dan kegiatan scammer yang boleh merugikan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kempen itu juga memastikan pengurusan haji negara lebih tersusun, teratur dan memenuhi keperluan jemaah.
“Alhamdulillah, setakat ini perjalanan operasi haji tahun ini dilihat sangat baik dengan pengurusan yang rapi serta jadual penerbangan yang lancar,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















