Farhah Sobrina Radin Imran (bertudung merah) dan Mariah Radin Imran (bertudung hitam) berjalan keluar dari lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan ideologi keganasan berhubung serangan Balai Polis Ulu Tiram. 27 APRIL 2026

KUALA LUMPUR – Bapa dan abang sulung penyerang Balai Polis Ulu Tiram dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, dan anaknya Radin Romiyullah, 36, serta memerintahkan hukuman berkuat kuasa serentak dari tarikh tangkap pada 17 Mei 2024.

Sementara itu, ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Nurulhuda menyatakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan tertuduh-tertuduh adalah kesalahan yang amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.

“Walaupun pengakuan salah tertuduh-tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa mahkamah dan pihak-pihak tapi pada masa sama ia bukan berbentuk diskaun untuk kesalahan-kesalahan yang serius,” kata Hakim Nurulhuda.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiganya menukar pengakuan kepada bersalah pada hari kelima perbicaraan hari ini.

Bagi tiga pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan, Radin Imran dihukum penjara 30 tahun bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas, Radin Imran dihukum penjara tiga tahun.

Sementara itu, anaknya Radin Romyullah, 36, dihukum penjara 30 tahun bagi pertuduhan memberi sokongan dan penjara tiga tahun bagi kesalahan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Dalam pada itu, Hakim Nurulhuda melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh iaitu adik-beradik penyerang, Mariah, 21, dan Farhah Sobrina, 25, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Mereka didakwa enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, antara April 2017 dan 17 Mei 2024.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Ahmad Azza Fahmi, 24, dan Muhamad Syafiq, 26, terkorban manakala Mohd Hasif, 40, cedera ditembak di bahu dan punggung kiri.

Peguam Faizal Rahman yang mewakili kelima-lima tertuduh berhujah, walaupun kes tersebut melibatkan ideologi keganasan, ia boleh dipulihkan dalam tempoh pemenjaraan yang minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berhujah agar tertuduh-tertuduh diberikan hukuman berat atas alasan kejadian itu mengorbankan nyawa individu yang tidak berdosa.

“Ancaman yang dilakukan bukan bersifat spekulatif sebaliknya kejadian itu telah berlaku, malah terdapat langkah untuk melakukan keganasan terhadap pihak berkuasa,” ujar Mohamad Mustaffa yang turut hadir bersama-sama Norinna Bahadun, Maryam Jamielah Ab. Manaf, Yazid Mustaqim Roslan dan Lokman Kassim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast