Radin Imran Radin Mohd. Yassin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan fahamannya selain menyampaikan dakwah berkaitan thaghut dan kebencian terhadap kerajaan serta pasukan keselamatan.

Menurut fakta kes yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun, Radin Imran Radin Mohd Yassin (tertuduh pertama), 64, bersama keluarganya sering menjauhkan diri daripada masyarakat setempat.

Berdasarkan siasatan di rumah keluarga itu di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor, Radin Imran menulis ayat-ayat dan kenyataan berunsur kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan di dinding rumah.

Fakta menyatakan, antara ayat-ayat itu menyebut bahawa polis dan tentera adalah thaghut dan wajib diperangi.

“Tertuduh pertama juga menyatakan hasrat untuk menyerang polis dan balai serta menyifatkan kematian dalam serangan tersebut sebagai mati syahid dan menanamkan fahaman ideologi keganasan kepada ahli keluarganya.

“Peranan tertuduh pertama sebagai ketua keluarga telah meletakkannya dalam kedudukan dominan untuk mempengaruhi serta membentuk pemikiran isteri dan anak-anak.

“Ini termasuk pelaku serangan yang juga anaknya (Radin Luqman) sehingga mendorong kepada berlakunya insiden serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024,” demikian menurut fakta berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.

Fakta kes dikemukakan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tiga ahli keluarga berkenaan yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkaitan ideologi keganasan berhubung serangan balai itu.

Mereka mengaku selepas representasi yang dikemukakan, diterima oleh pihak pendakwaan.

Fakta selanjutnya menyatakan, sekitar tahun 2013 hingga 2015, Radin Imran terdedah kepada ideologi Daesh dan mula menjadikan ketua kumpulan pengganas, Abu Bakar Al-Baghdadi sebagai ikon perjuangan.

Menurut fakta, pada Jun 2014, Radin Imran, anaknya Radin Romyullah (tertuduh kedua) dan penyerang balai (Radin Luqman), menonton video berkaitan Daesh di rumah mereka dan melakukan bai’ah taat setia kepada Abu Bakar Al-Baghdadi yang merupakan pemimpin kumpulan pengganas.

Radin Imran kemudian aktif menerapkan fahaman jihad kepada anak-anaknya dengan mengajar konsep jihad hati, jihad lisan dan jihad tangan (qital) termasuk mengangkat senjata terhadap pihak berkuasa yang dianggap thaghut.

“Saya menyakini bahawa Daesh yang muncul tahun 2014 adalah khalifah yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW yang berasal dari keturunan Fatimah Azzahrah dan saya telah menonton video-video bai’ah khalifah.

“Saya ikut berbai’ah meniru bahasa Arab ketika mereka berbai’ah beramai-ramai untuk sekadar mengambil barakah,” demikian menurut Radin Imran dalam pengakuan bertulisnya yang terkandung dalam fakta kes tersebut.

Sementara itu, abang sulung penyerang, Radin Romyullah, 36, menganggap tindakan adiknya Radin Luqman menyerang dan membunuh polis adalah benar kerana menurut fahamannya polis dan tentera adalah berstatus kafir.

“Saya pernah beberapa kali mendengar bapa mengatakan dengan nada seloroh dan gurauan, `nak jihad tak perlu jauh-jauh, jumpa kat mana-mana datang senyap-senyap, zass’ sambil menghayunkan tangannya.

“Jumpa kat mana-mana itu bermaksud berjumpa polis manakala ‘zass’ sambil menghayunkan tangan bermaksud menggunakan senjata tajam terhadap anggota polis,” ujar Radin Romyullah.

Tertuduh kedua selanjutnya menyatakan, dia mengikuti fahaman Salafiyah Jihadiyah iaitu melakukan jihad qital memerangi pihak berkuasa yang melindungi kerajaan thaghut.

“Saya juga pernah berangan-angan untuk membawa seluruh keluarga menaiki van yang dipenuhi muatan bahan letupan, menyerang hari perbarisan merdeka dengan mensasarkan anggota keselamatan negara (polis, tentera terutamanya komando),” demikian menurut fakta kes.

Sementara itu, ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, (tertuduh ketiga) dalam pernyataan bertulisnya menyatakan pernah mendengar suaminya bertanyakan kepada anak mereka, Radin Romyullah sama ada sanggup untuk menyerang balai polis sambil menyebut `hidup mulia dan mati syahid’.

Fakta kes selanjutnya menyatakan, pada 8 Jun 2024, satu lawatan bersama pakar telah dijalankan di rumah tertuduh manakala hasil lawatan persekitaran tempat tinggal tersebut serta bahan-bahan ditemui mengandungi elemen yang menjurus kepada penyebaran dan penerapan ideologi ekstremis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast