Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas hadir pertuduhan berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin terhadap lima pertuduhan rasuah, kekal didengar di Mahkamah Sesyen.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Shamsul Iskandar untuk memindahkan lima pertuduhan yang dihadapinya, ke Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan demikian selepas berpuas hati, pemohon tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) bagi membolehkan permohonan itu dibenarkan.

Seksyen 417 membenarkan kes jenayah dipindahkan dari mahkamah bawahan ke Mahkamah Tinggi, tertakluk kepada alasan terhad seperti isu perundangan yang kompleks atau kepentingan keadilan.

Ujar beliau, oleh kerana undang-undang telah diselesaikan mengenai isu ini, mahkamah tiada alasan untuk menyimpang daripada nas undang-undang terdahulu yang telah ditetapkan dan mengikat.

Pada 9 April lalu, hakim berkenaan mendengar penghujahan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pihak pendakwaan.

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 4 Februari lalu, Shamsul Iskandar menyatakan, kes berkenaan melibatkan persoalan perlembagaan dan isu perundangan yang kompleks termasuk perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersetuju menerima suapan untuk dirinya iaitu wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya.

Ia dengan membantu syarikat yang Albert mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perbuatan itu sebenarnya tidak mempunyai hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Albert bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.

Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya satu suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, serta antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember tahun lalu, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Tei.

Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast