Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan pertuduhan salah guna kedudukan melibatkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kemasukan wang berjumlah RM19.5 juta ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diragui kerana transaksi tersebut melibatkan jumlah yang banyak dan dilakukan secara kerap.

Norazeanti Miswan, 38, berkata, kesemua 29 transaksi itu diterima daripada sebuah syarikat pembinaan, Mamfor Sdn. Bhd. yang juga pelanggan bank melalui cek di antara 12 Mei 2021 dan 16 November 2022.

Menurut beliau yang juga Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad di Shah Alam, kemasukan wang ke dalam akaun parti itu melibatkan jumlah di antara RM500,000 dan RM2 juta daripada syarikat sama.

“Transaksi secara terus menerus daripada pihak yang sama merupakan sesuatu yang diragui kerana pemindahan wang seperti itu tidak pernah dibuat oleh syarikat lain,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pendakwa: Apa beza Mamfor dengan syarikat lain?
Saksi: Biasanya syarikat lain akan buat pembayaran selari dengan jenis perniagaan yang dijalankan.

Pendakwa: Maksudnya apa?
Saksi: Saya tidak pernah jumpa syarikat lain (pelanggan bank) bayar kepada parti politik.

Saksi kesembilan (SP9) itu menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan suapan berjumlah RM225.3 juta.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Norazeanti berkata, setakat pengetahuannya, Mamfor tidak melakukan transaksi kepada mana-mana parti politik lain seperti UMNO, DAP dan Pas.

Ujarnya, beliau mengetahui Bersatu, UMNO, DAP dan Pas adalah parti politik, namun Mamfor tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti-parti itu selain Bersatu.

Norazeanti selanjutnya menyatakan, cek yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan tertulis perkataan `sumbangan’, bukan `sumbangan politik’.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin, saksi berkata, dalam situasi melibatkan 29 transaksi itu, laporan transaksi mencurigakan dibuat oleh pihak bank dan dihantar kepada ibu pejabat untuk penilaian.

Dalam keterangannya, saksi turut berkata, Mamfor kemudian menutup akaun pada 26 Februari 2025 selepas pihak bank menghantar notis penutupan akaun kepada pelanggan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung petang ini.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast