KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyalurkan peruntukan keseluruhan RM9.24 juta kepada hampir 500 rumah ibadat Hindu di seluruh negara menerusi program Dharma Madani setakat ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, daripada jumlah itu, RM6 juta diagihkan kepada 300 kuil dalam fasa kedua yang dilaksanakan hari ini.
Menurutnya, sebelum ini sebanyak RM3.24 juta telah disalurkan kepada 126 kuil dalam fasa pertama pada 27 Januari lalu.
“Secara keseluruhan, kedua-dua fasa ini melibatkan hampir 500 kuil dengan jumlah bantuan RM9.24 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin masyarakat India dan sesi penyerahan surat kelulusan program Dharma Madani kepada 300 rumah ibadat Hindu, hari ini.

Ramanan berkata, pelaksanaan bantuan itu akan diteruskan menerusi fasa ketiga dan keempat bagi memastikan lebih banyak kuil mendapat manfaat.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa permohonan yang masih belum diluluskan berikutan dokumen yang tidak lengkap.
“Tiada masalah, saya telah arahkan MITRA untuk membantu melengkapkan dokumen serta memudah cara proses permohonan tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan tidak berhasrat menolak mana-mana permohonan selagi syarat yang ditetapkan dipenuhi.
“Kita akan pantau dan beri bimbingan. Jika semua dokumen lengkap dan syarat dipatuhi, kelulusan akan diberikan,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, Program Pemerkasaan Rumah Ibadat Hindu atau Dharma Madani menyasarkan 1,000 rumah ibadat berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM20 juta.
Katanya, setiap rumah ibadat yang memenuhi syarat akan menerima bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM20,000.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 462 rumah ibadat Hindu telah menerima kelulusan dengan jumlah peruntukan RM9.24 juta, termasuk 162 kuil di bawah pelaksanaan siri pertama.
“Melalui program ini, kuil bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat, tetapi turut memainkan peranan sebagai pusat komuniti melalui kelas tuisyen, bengkel belia dan pelbagai aktiviti pembangunan sosial,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat 341 permohonan yang masih belum lengkap, namun MITRA telah diarahkan untuk membantu memastikan semua permohonan dapat diproses agar tidak ada yang tercicir daripada menerima manfaat.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, selain Dharma Madani, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk komuniti India sejak 2023 melibatkan pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosial.
Antara inisiatif itu, ujarnya, termasuk Program Kalvi Madani yang menyediakan tuisyen percuma kepada 200 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan peruntukan RM8 juta, selain pemberian komputer riba kepada 3,000 pelajar India tahun pertama institusi pengajian tinggi melalui inisiatif Peranti Siswa berjumlah RM7.95 juta.
Beliau berkata, kerajaan juga menyalurkan RM5 juta bagi penyediaan peralatan ICT termasuk papan pintar kepada 388 SJKT serta memperkenalkan subsidi pendidikan awal tadika swasta yang memanfaatkan lebih 4,000 kanak-kanak India daripada keluarga B40.
“Inisiatif lain termasuk bantuan subsidi dialisis RM10 juta, naik taraf infrastruktur kampung India serta bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi untuk pelajar B40,” katanya.
Menurutnya, komuniti India turut menerima manfaat menerusi bantuan bersasar kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menyaksikan peningkatan peruntukan setiap tahun sejak 2023.
Katanya, sebanyak RM608 juta disalurkan kepada kira-kira 698,000 penerima pada 2023, diikuti RM671 juta kepada 661,000 penerima pada 2024, dan meningkat kepada RM1 bilion yang memanfaatkan 680,000 penerima pada tahun ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menyalurkan RM46.24 juta bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam melibatkan 341 kuil Hindu di seluruh negara sejak 2023.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengurusan kuil dapat membantu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat bagi menangkis sebarang persepsi tidak benar terhadap usaha kerajaan. – MalaysiaGazette
















