KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kesal dengan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
“PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO BN Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.
“Tindakan itu telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat malah dilakukan pada ketika kerajaan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, PH memberi komitmen seperti yang disembah maklum oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
PH akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat dan terus mempertahankan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette
















