KUALA LUMPUR – Isu kritikal berhubung keadaan dan pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 memerlukan reformasi segera kerana model sedia ada tidak efektif, demikian menurut ahli Dewan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh Omar.

Beliau berkata, PPR Lembah Subang 1 merangkumi 3,004 unit kediaman dengan hampir 10,000 penduduk, menjadikannya sebuah bandar menegak yang dihuni oleh rakyat berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pengurusan kerajaan.

“Kadar kutipan sewa dilaporkan rendah, sekitar 40 peratus manakala kerajaan negeri pula terpaksa menanggung puluhan juta ringgit kos tambahan bagi menampung penyelenggaraan.

“Dianggarkan kutipan 20 peratus atau sekitar RM1.2 juta setahun diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan tidak cukup memandangkan kutipan yang rendah,” katanya ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, dengan jumlah tersebut, timbul pula persoalan besar apakah jumlah itu benar-benar cukup untuk menyelenggara lebih 3,000 unit rumah bertingkat seperti kos lif, pam air, tangki, kebersihan dan keselamatan.

“Terdapat juga laporan berkaitan pejabat pembayaran yang ditutup sejak beberapa bulan lalu hingga menyukarkan penduduk sukar untuk membuat bayaran sewaan.

“Di mana rasional kerajaan negeri yang mengambil sehingga 80 peratus daripada kutipan sewa sedangkan projek ini dibina oleh Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Persekutuan dan hanya diserahkan kepada negeri untuk tujuan pengurusan,” katanya lagi.

Nurul Syazwani turut mencadangkan agar peratusan kutipan sewa untuk penyelenggaraan ditingkatkan kepada 50 hingga 70 peratus.

“Lebih banyak dana dikuti, lebih banyak dapat digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Selain itu, PPR Lembah Subang 1 boleh melaksanakan skim Rent-To-Own (RTO) sebagai pendekatan baharu yang dilihat lebih mampan.

“Model sewa semata-mata gagal membina rasa pemilikan dalam kalangan penduduk,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, cadangan tersebut dapat menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai projek rintis RTO dengan garis panduan tertentu bagi memastikan hanya golongan layak mendapat manfaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast