Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR — Keputusan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan meskipun hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mencetuskan tanda tanya apabila dilihat bercanggah dengan pendirian parti itu sendiri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Aziz Ismail menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘u-turn’ politik yang sukar dijelaskan secara logik.

Menurut beliau, kenyataan Biro Politik UMNO yang bermesyuarat semalam memperlihatkan percanggahan apabila mengakui hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, namun dalam masa sama kekal menyokong kerajaan negeri.

“Pendirian UMNO Negeri Sembilan seperti kenyataan Biro Politik UMNO adalah – ‘hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, namun tetap menyokong Kerajaan Perpaduan…’,” katanya.

Beliau menegaskan terdapat empat kemungkinan utama yang boleh menjelaskan mengapa ADUN UMNO di negeri itu masih kekal bersama kerajaan sedia ada walaupun menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

“Hanya ada 4 sebab sahaja jika ADUN-ADUN Umno di Negeri Sembilan u-turn, antaranya takutkan DAP, ugutan atau tekanan, tawaran wang dan jawatan serta penyelesaian kes mahkamah,” katanya.

Semalam, UMNO dalam satu kenyataan menegaskan parti itu menghormati pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Perkembangan tersebut terus menghangatkan polemik politik di Negeri Sembilan apabila percanggahan pendirian itu dilihat membuka lebih banyak persoalan berbanding jawapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast