KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengarah syarikat yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana pertubuhan berjumlah RM230 juta dilepaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang disyaki bersubahat memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikat salah seorang suspek bagi tujuan pelaburan dan tujuan peribadi itu telah dilepaskan hari ini, sebaik sahaja tempoh reman berakhir.
“Pada 25 April lalu, kedua-dua suspek telah disambung reman selama lima hari dan hari ini mereka telah dilepaskan sebaik tempoh reman tamat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sebelum ini media melaporkan, dua individu berusia 50-an dan 60-an telah direman di Mahkamah Majistret Shah Alam, dan susulan tangkapan itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM150 juta.
SPRM sebelum ini mengesahkan kes berkenaan melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. – MalaysiaGazette
















