KUALA LUMPUR – Inisiatif Rumah Bangsa yang digerakkan oleh UMNO dilihat sebagai sesuatu yang jauh lebih luas daripada sekadar menjemput semula ahli yang tersisih.
Ahli UMNO, Khairi Jamaluddin berkata, Rumah Bangsa bukan sebuah gabungan politik rasmi untuk menghadapi pilihan raya tetapi ia adalah satu titik pertemuan untuk meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di atas segala-galanya.
“Semangatnya adalah untuk menyatukan semua parti Melayu di Malaysia. Ini bukan soal menubuhkan satu kerjasama rasmi menjelang pilihan raya, ini lebih besar daripada itu,” katanya menerusi program SKOP MG.

Khairy berkata, apa yang lebih menarik, Rumah Bangsa akan menjadi penentu kepada garisan merah yang seharusnya dipersetujui bersama oleh semua pemimpin parti Melayu.
“Saya sedih sebab bila inisiatif ini dimulakan kurang sambutan daripada parti-parti lain.
“Rumah Bangsa bukan hanya untuk bekas ahli UMNO kembali tetapi semangatnya adalah untuk menyatukan semua parti Melayu di Malaysia.
“Saya rasa sedih sebab tidak disambut oleh Pas, Perikatan Nasional mahupun Bersatu. Saya rasa mereka salah faham,” katanya.
Jelasnya, perpecahan yang berlaku hari ini adalah kerana sikap berlumba-lumba untuk menjadi jaguh tanpa sedar musuh di luar sedang memerhati ruang untuk mencelah.
“Saya cakap terus terang, kalua ada isu yang berkait dengan contoh masyarakat Cina, DAP dengan MCA akan ada pendirian sama.
“Walaupun dia tak buat apa-apa gabungan dari segi sidang media ataupun apa-apa tetapi they will be on the same page (keputusan yang sama).
“Orang Melayu kita ini rasa nak bersaing dengan satu sama lain siapa yang lebih Melayu, lebih Islam tapi oleh kerana parti Melayu semua berpecah.
“Sekarang ini bukan hanya gabungan politik tetapi berpecah dari segi nak berlumba-lumba jadi the Malay Islamic champion.
“Situlah senang untuk orang ambil kesempatan,” ujarnya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu juga berkata, Rumah Bangsa bukan tentang siapa ‘abang long’ atau siapa yang mendominasi tetapi tentang kebersamaan mempertahankan identiti negara apabila dicabar.
“Betapa mudahnya kedudukan orang Melayu goyah apabila tiada satu pendirian yang seiring, terutamanya melibatkan isu-isu sensitif 3R (Agama, Bangsa, Raja).
“Kalau ada orang yang langgar, sentuh hingga melebihi garisan ini, kita nyatakan pendirian yang bersama.
“Tak perlu buat sidang akhbar bersama, barulah orang ambil nota, tapi bila kita berpecah, senanglah orang ambil kesempatan,” tambahnya.
Menurut beliau, ketiadaan kesepakatan ini hanya menyebabkan parti-parti Melayu terus ghairah bersaing untuk membuktikan siapa yang lebih Melayu atau lebih Islam sehingga akhirnya membuka ruang untuk pihak lain mengambil kesempatan.
“Walaupun Rumah Bangsa kedengaran sangat menjurus kepada agenda Melayu, ia bukanlah ancaman kepada kaum bukan Melayu atau bukan Islam di negara ini.
“Perjuangan UMNO sentiasa berlandaskan tiga paksi utama: agama, bangsa dan negara. Bagi bukan Islam, saya harap mereka tidak melihat Rumah Bangsa ini sebagai sesuatu ancaman sebab kita tahu bahawa kita tak boleh memimpin negara ini tanpa sokongan daripada kaum lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















