BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Pulau Pinang menyifatkan kenyataan pembangkang berhubung pelarasan peruntukan melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi bersifat politik dan berpotensi mengelirukan rakyat.
Setiausahanya, Abshar Nurasyraf Amram berkata, pelarasan peruntukan melibatkan dua sektor yang disifatkan itu tidak mengambilkira konteks sebenar pengurusan fiskal negara.
“Kenyataan sedemikian dilihat tidak mengambil kira keseluruhan konteks pengurusan fiskal negara serta keperluan untuk memastikan kelestarian ekonomi dalam jangka masa panjang dan bersifat politik.
“Perbahasan mengenai dasar ekonomi negara tidak seharusnya dipolitikkan secara berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Sebaliknya, semua pihak termasuk pembangkang perlu mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dengan mengemukakan cadangan penyelesaian serta alternatif dasar yang praktikal dan berasaskan realiti ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ketua AMK Bukit Mertajam berpandangan cadangan pelarasan peruntukan melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan realiti ekonomi semasa.
Jelas beliau, persekitaran global yang mencabar ketika ini menuntut pendekatan dasar yang berhati-hati dan berimbang selain pengurusan fiskal yang berdisiplin adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
“Isu ini perlu dinilai dalam kerangka yang lebih menyeluruh, berteraskan realiti ekonomi semasa serta prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan berhemah.
“Dalam persekitaran global yang kekal mencabar hari ini dibuktikan dengan faktor-faktor kadar faedah antarabangsa yang tinggi, tekanan inflasi import serta ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan pelbagai, Malaysia turut berdepan tekanan yang memerlukan pendekatan dasar yang berhati-hati dan berimbang.
“Justeru, pengurusan fiskal yang berdisiplin, termasuk kawalan defisit dan pengoptimuman dan keberkesanan perbelanjaan, adalah langkah penting dan terbaik bagi memastikan kestabilan ekonomi serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya..
Tambah beliau, cadangan pelarasan peruntukan tidak wajar ditafsir sebagai pengabaian terhadap sektor kritikal.
“Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula keutamaan perbelanjaan negara yang lebih strategik, termasuk mengurangkan ketirisan, menilai semula perbelanjaan berimpak rendah serta memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“Penyaluran sumber secara lebih efektif kepada golongan yang benar-benar memerlukan, disertai penekanan kepada keberhasilan dan impak, akan memastikan setiap peruntukan memberi pulangan sosial yang maksimum dan berkesan buat rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Media semalam melaporkan Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan serius terhadap cadangan Kementerian Kewangan untuk memotong peruntukan operasi kerajaan berjumlah RM10 bilion daripada keseluruhan Bajet 2026.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu amat mengecewakan kerana ia membabitkan pengurangan dana yang besar terhadap dua sektor kritikal iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). – MalaysiaGazette















