Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kontroversi Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang terus memanas apabila Pas menyifatkan respons Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai tidak cermat dan mengundang keresahan awam.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan King Sing selepas pelancaran acara tersebut menampakkan pendekatan defensif yang tidak mencerminkan tanggungjawab seorang anggota Kabinet.

“Pas percaya kenyataan sedemikian tidak wajar sama sekali diucapkan oleh menteri Kabinet, lebih-lebih lagi oleh individu yang diamanahkan tugas memaju dan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan dihormati.

“Menteri Pelancongan hendaklah bercakap mewakili semua rakyat dan kalangan. Beliau wajib menjuarai nilai-nilai perpaduan, saling menghormati, peka budaya dan keterangkuman bukannya bersikap defensif dan berfikiran selekeh dengan mengetepikan kebimbangan sah orang ramai begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin merujuk kenyataan King Sing bahawa semua pihak agar tidak mempolitikkan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave yang berakhir semalam.

“Jangan semua program dijadikan isu politik. Kalau begitu, bagaimana mahu membangunkan ekonomi?… Mana-mana pihak merasakan boleh datang (silakan) datang. Kalau merasakan agama kita tidak beri kelulusan, jangan datang,” kata King Sing.

Mengulas mengenai itu, Takiyuddin menegaskan, kenyataan sedemikian tidak wajar sama sekali diucapkan oleh seorang menteri yang diamanahkan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Menteri Pelancongan hendaklah bercakap mewakili semua rakyat dan kalangan. Beliau wajib menjuarai nilai-nilai perpaduan, saling menghormati, peka budaya dan keterangkuman, bukannya bersikap defensif dan berfikiran selekeh dengan mengetepikan kebimbangan sah orang ramai begitu sahaja,” menurut Takiyuddin lagi.

Menurut beliau, kritikan yang timbul bukanlah melampau sebaliknya berkisar isu serius melibatkan kesopanan awam, kesesuaian tempat, keselamatan, kawalan khalayak serta sensitiviti budaya dalam ruang awam mesra keluarga.

Dalam masa sama, Pas, menurut Takiyuddin berpandangan program yang menyerupai suasana kelab malam pada skala besar lebih sesuai dianjurkan secara tertutup oleh pihak swasta dan tidak wajar dijadikan acara utama kerajaan.

“Ia tidak harus diangkat sebagai acara utama kerajaan apatah lagi diwarwarkan sebagai acara utama promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk menunjukkan keseriusan dan kredibiliti negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang penting,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast