SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijangka diperkukuh dengan pengambilan sehingga 200 anggota baharu pada tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 50 anggota telah selesai direkrut dalam fasa pertama, manakala selebihnya akan menyusul.
“Peruntukan tahun ini membolehkan AKPS merekrut sehingga 200 anggota.
“Fasa pertama melibatkan 50 orang telah selesai. Mereka ditempatkan di pintu masuk termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.
“Di sini (KLIA) sahaja terdapat 18 anggota baru tamat latihan. Pengambilan kedua sedang dalam proses dan dijangka selesai tahun ini, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan pengoperasian di KLIA Terminal 1, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Selain itu, katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan penyediaan fasiliti persenjataan kepada anggota AKPS termasuk penggunaan taser sebagai langkah awal.
“Secara prinsip, AKPS akan menuju ke arah penggunaan senjata bagi memastikan keselamatan anggota di kawasan berisiko tinggi.
“Kita melihat latar belakang kemahiran mereka yang pelbagai, ada komando, jurulatih kawad dan lain-lain. Setakat ini prestasi mereka baik (kendali senjata),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















