Bangunan Mara di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Beliau berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026

“Kebanyakan kedai ini dimiliki oleh syarikat atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA… mulai bulan ini, kadar sewa di semua premis perniagaan mereka akan dikurangkan, dan perinciannya diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat,” katanya pada Sidang Media Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Anwar juga berkata meneladani inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan premis miliknya, beliau menyeru agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama mulai bulan ini.

“Ini memang di bawah bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri namun saya menggesa supaya ia dilaksanakan segera bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh peniaga dan penjaja,” katanya.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas kerajaan mengambil kira keluhan peniaga kecil ketika beliau turun padang minggu lepas.

“Minggu lepas sebelum solat Jumaat, saya ke sebuah gerai di Rawang dan mendengar sendiri keluhan seorang peniaga mengenai peningkatan kos barangan.

“Walaupun peningkatan itu dilihat kecil, ia berlaku setiap minggu dan akhirnya memberi kesan besar kepada perniagaan mereka.

“Perkara ini kemudian saya bawa ke MTEN bersama isu lain yang berkaitan,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast