ALOR SETAR – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin menyifatkan dakwaan Langkawi ketinggalan dalam persaingan pelancongan ASEAN sebagai tidak berasas dan terlalu simplistik.

Ia susulan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan pulau peranginan itu kini sedang tewas dalam persaingan pelancongan ASEAN akibat kegagalan tadbir urus Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Mohd Salleh, data rasmi yang dikemukakan sebelum ini adalah sebagai jawapan terhadap kenyataan Teresa yang menyifatkan Langkawi berkeadaan lesu dan angka tersebut secara langsung menafikan dakwaan berkenaan.

Katanya, perbandingan kini yang dibuat antara Langkawi dengan Phuket, Thailand dan Bali, Indonesia adalah tidak adil serta mengabaikan perbezaan besar dari segi geopolitik, sejarah dan pembangunan ekonomi.

“Perbandingan itu secara langsung adalah perbahasan yang terlalu simplistik, tidak adil secara struktur, menafikan perbezaan ketara geopolitik, sejarah dan ekonomi serta bersifat ketidakjujuran intelek.

“Perlu dinyatakan sektor pelancongan Phuket mula dibangunkan sejak awal 1970-an, manakala Bali pula telah mula menarik kunjungan pelancong asing sejak tahun 1920-an. Ketika kedua-dua destinasi itu sedang berkembang, Langkawi masih dalam belenggu ‘Sumpah Mahsuri’.

“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa apa-apa juga perbandingan yang dibuat haruslah bersifat setara. Bali dan Phuket bukan sekadar pulau pelancongan biasa, sebaliknya merupakan hab pelancongan utama yang dibangunkan secara agresif oleh kerajaan pusat masing-masing, dengan kapasiti penerbangan antarabangsa yang jauh lebih besar, jaringan laluan global yang luas, serta dasar kemasukan pelancong yang lebih terbuka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Salleh turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bersikap lepas tangan terhadap pembangunan Langkawi, sebaliknya menegaskan pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam ruang kuasa negeri.

“Menuduh Kerajaan Negeri bersikap lepas tangan dan menyerahkan soal pembangunan Langkawi kepada LADA adalah satu lagi kenyataan yang tidak berasas.

“Kerajaan negeri telah melakukan segala yang termampu, di bawah bidang kuasanya untuk menggilap, mengangkat dan mempromosi Langkawi.

“Kami tidak ada masalah bekerjasama dengan LADA kerana mereka juga bertungkus lumus melakukan segala yang terbaik di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Tambah beliau, banyak aspek penting pembangunan pelancongan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan termasuk kelulusan penerbangan, pembesaran lapangan terbang, insentif laluan antarabangsa, operasi feri, polisi visa dan promosi pelancongan global.

Jelas beliau, isu perkhidmatan feri merupakan antara kekangan utama yang menjejaskan kemasukan pelancong ke Langkawi dan telah lama dibangkitkan.

“Bukanlah rahsia lagi bahawa antara halangan paling besar yang menjejaskan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi adalah perkhidmatan ferinya. Ini bukan masalah baharu.

“Saya sendiri telah beberapa kali meminta supaya Kerajaan Persekutuan melakukan sesuatu supaya masalah perkhidmatan feri di Langkawi dapat diatasi secara tuntas susulan perkhidmatan feri itu seharusnya tidak terlalu berorientasikan komersial kerana ia merupakan keperluan asas penduduk pulau itu,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Teresa membawa isu berkenaan ke peringkat Persekutuan sekiranya benar mahu membantu pembangunan Langkawi, bukannya terus memainkan persepsi politik.

“Jika YB (Teresa) ikhlas untuk membantu memajukan Langkawi, tolong bawa perkara ini kepada rakan-rakan YB dalam kerajaan Persekutuan.

“Ia lebih baik daripada mengarang kisah-kisah keburukan Langkawi semata-mata atas sebab dan dorongan politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan sektor pelancongan memerlukan pendekatan berasaskan data, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta strategi jangka panjang yang konsisten, bukan dinilai melalui contoh acara tertentu semata-mata.

“Pembangunan pelancongan di Kedah akan terus berpaksikan nilai agama dan budaya tempatan tanpa kompromi.

“Perlu saya tegaskan di sini bahawa dalam usaha memajukan sektor pelancongan di Kedah umumnya dan Langkawi khususnya, Kerajaan Negeri meletakkan tuntutan agama dan resam budaya sebagai keutamaannya.

“Tidak kira sebesar gunung mana sekalipun laba yang menanti, kami tidak akan cagarkan nilai-nilai itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast