PUTRAJAYA – Badan Peguam dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding pendakwaan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri menyebabkan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram pada 4 September 2023.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas mendapati permohonan Badan Peguam, berasas.
Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam.
Selanjutnya, kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin berpendapat, semakan kehakiman itu menimbulkan isu undang-undang awam yang boleh dibicarakan.
“Cabaran undang-undang Badan Peguam terhadap kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua bukanlah sesuatu yang remeh.
“Sebaliknya, ini adalah suatu kes yang sesuai (bagi semakan kehakiman), jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Faizah berkata, permohonan Badan Peguam itu melepasi syarat minimum bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman untuk mencabar budi bicara Peguam Negara.
Beliau berkata, badan itu mencabar keabsahan dan rasional proses (Peguam Negara) membuat keputusan dan ia menepati serta sesuai untuk dianggap sebagai kes yang jarang dan luar biasa.
“Pertama, ia membabitkan keseriusan pertuduhan dan kepentingan awam dalam kes pendakwaan rasuah. Selain itu, wujud dapatan prima facie oleh Mahkamah Tinggi selepas membuat penilaian maksimum dalam kes berkenaan.
“Kedua ia sudah berada di peringkat membela diri, di mana tahap prosiding yang telah berlangsung termasuk 99 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang 53 hari perbicaraan dan 15 saksi pembelaan, selain masa dan bilangan representasi yang telah dikemukakan.
“Kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah luas, namun ia bukan tidak boleh disemak oleh mahkamah dalam keadaan luar biasa.
“Status berperlembagaan Peguam Negara tidak meletakkan beliau di luar penelitian kehakiman,” katanya.
Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2022 memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 47 pertuduhan sebelum Zahid diarahkan membela diri.
Sementara itu, Hakim Faizah berkata mahkamah juga menolak hujahan responden bahawa Badan Peguam secara tidak langsung mencabar perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang diputuskan mahkamah.
Sebaliknya, beliau berkata, badan berkenaan mencabar keputusan awal Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan dan memohon DNAA.
“Oleh kerana perintah DNAA oleh mahkamah jenayah itu adalah kesan prosedural daripada keputusan Peguam Negara, perayu (Badan Peguam) tidak mencabar perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan DNAA tersebut.
“Apa yang dicabar ialah punca tindakan kepada perintah tersebut iaitu keputusan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan berhubung pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dan memohon DNAA.
“Oleh itu, kami mendapati permohonan semakan kehakiman oleh perayu bukanlah satu serangan sampingan terhadap perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Steven Thiru mewakili Badan Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi pihak Peguam Negara, manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendaptkan kebenaran bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Hakim Datuk Amarjeet Singh (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan) juga menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan perkara yang sama.
Beliau memutuskan bahawa Badan Peguam tidak memenuhi keperluan syarat minimum di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.
Dalam semakan kehakiman, Badan Peguam memohon perintah certiorari supaya keputusan AG memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pada 4 September 2023, dibatalkan.
Ia juga mahukan perisytiharan bahawa keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini hakim Mahkamah Persekutuan) adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara. – MalaysiaGazette
















