Seorang penjual kuih didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah menghantar video sumbang dan lucah bagi tujuan komersial dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MEI 2026

SEPANG – Seorang penjual makanan didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap pertuduhan membuat hantaran bersifat lucah melalui pautan Telegram bagi tujuan komersial, dua tahun lalu.

Lelaki terbabit, Bradley Mohd Talhah, 24, didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Dia dituduh secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Telegram ‘Babylia’ menerusi nombor telefon miliknya untuk memberikan komunikasi lucah kepada seorang ejen kerajaan kira-kira pukul 8.44 malam, pada 22 Julai 2024.

Komunikasi lucah itu berupa akses kepada kumpulan Telegram Baby Channel Lifetime yang mengandungi video-video lucah bagi maksud komersial dengan bayaran sebanyak RM150 melalui Touch N Go reload pin.

Hakim Ahmad Fuad Othman ketika membacakan sabitan dan penghakimannya berkata, kesalahan itu melanggar Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, dan sekiranya dibiarkan boleh merosak dan menghakis rasa malu dalam kalangan masyarakat serta menghancurkan negara.

Seorang penjual kuih didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah menghantar video sumbang dan lucah bagi tujuan komersial dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MEI 2026

Selain itu, mahkamah berpandangan, hukuman maksimum perlu dikenakan terhadap tertuduh kerana ia boleh memberikan mesej yang salah kepada orang awam, malah perbuatan lelaki itu tidak boleh ditolak ansur, selain trend hukuman bagi kes sama tinggi ketika ini iaitu antara RM20,000 hingga RM30,000.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali memohon mahkamah memberi pertimbangan terhadap kepentingan awam yang hanya akan terpelihara sekiranya hukuman maksimum dijatuhkan dapat menghalang kesalahan sama berulang.

Bagaimanapun Bradley yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibunya yang berniaga kuih secara kecil-kecilan, selain kini tinggal bersama ibu dan adiknya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM30,000 dan jika gagal bayar, enam bulan penjara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast