JDT tewas tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto Facebook Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz masih tidak berputus asa untuk terus berjuang walaupun tewas kepada penyandang juara Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 1-3 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Munoz berkata, ini kerana peluang JDT masih belum tertutup, malah yakin masih ada ruang buat Harimau Selatan untuk mara ke pentas final ACC buat pertama kali.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu akui kecewa apabila benteng pertahanan aksi separuh akhir pertama malam tadi yang tampak leka hingga membenarkan gawang dibolosi tiga kali pada perlawanan tersebut.

“Kita menguasai permainan dengan baik dan kerap melancarkan serangan dari bahagian sayap, namun ketumpulan sentuhan jaringan membezakan aksi kedua-dua pasukan.

“Kita sedar kemampuan penyerang import mereka, Guilherme Bissoli namun sedikit kecuaian membuka ruang buat pemain kelahiran Brazil itu mencipta jaringan sekali gus meranapkan impian untuk mengikat mereka.

“Kita akan buat post-mortem mengenai perlawanan ini dan mencari ruang yang boleh ditambah baik. Saya minta maaf kepada penyokong JDT setelah keputusan perlawanan tidak memihak kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Munoz berkata, ketiadaan Bergson Da Silva yang tidak dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan menjejaskan persiapan pasukan.

Beliau bagaimanapun tetap optimis bahawa JDT bakal memberi tentangan sengit kepada Buriram pada aksi kedua di Stadium Arena Chang, 13 Mei ini.

“Kita perlu percaya kepada diri sendiri dan perlu berusaha keras lagi demi lencana di dada.

“Kita akan bertandang ke Thailand dengan kekuatan penuh dan berkeyakinan tinggi dan cuba mengubah keadaan kerana ada baki 90 minit perlawanan lagi. Ia bukanlah suatu yang mustahil,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast