Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diarahkan dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selepas didakwa gagal mematuhi beberapa arahan yang dikeluarkan jabatan itu.

Menerusi notis bertarikh hari ini, ROS memaklumkan tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

Menurut ROS, MTUC didapati gagal mengemukakan penyata kewangan serta kunci kira-kira yang telah diaudit seperti diarahkan sebelum ini.

Selain itu, kongres berkenaan juga didakwa tidak menyerahkan maklumat lengkap berkaitan penerimaan dana, sumbangan atau manfaat daripada pihak luar negara bagi tempoh 2020 hingga 2025.

“Berikutan kegagalan mematuhi arahan tersebut, pertubuhan ini diperintahkan dibubarkan sementara berkuat kuasa mulai tarikh notis ini,” menurut notis berkenaan.

ROS turut memaklumkan MTUC diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN).

Difahamkan sekiranya tiada rayuan dibuat atau rayuan ditolak, pembubaran sementara tersebut akan menjadi muktamad dan pertubuhan itu boleh dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Mana-mana individu yang terus menguruskan atau terlibat dalam aktiviti pertubuhan selepas pembatalan pendaftaran juga boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara atau denda.

Isu melibatkan MTUC bukan kali pertama berlaku apabila kongres berkenaan sebelum ini turut berdepan beberapa pertikaian dalaman termasuk perebutan kepimpinan serta aduan berkaitan pengurusan organisasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast