KULAI – Proses meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang melonggarkan banduan warga asing untuk dibenarkan bekerja dalam pelbagai sektor dalam negara kini berada pada fasa akhir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan syarat tersebut diperluas kepada banduan warga asing yang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan ke bawah.
Jelasnya, ia kerana syarat sebelum ini hanya membenarkan banduan warga asing yang menjalani hukuman penjara empat tahun ke bawah dibenarkan mendapatkan pekerjaan ketika dalam tempoh pemenjaraan itu.
“Isu sekarang adalah pool kesalahan kecil ini adalah kecil, oleh itu saya kena besarkan pool dia dengan cara meminda Akta Kesalahan Kecil di Parlimen untuk membolehkan hukuman penjara yang tempoh 10 tahun ke bawah dilibatkan.
“Jadi, faedah lain adalah kita mengurangi kesesakan penjara warga asing. Kapasiti penjara kita seluruh negara kira-kira 75,000 namun penghuninya dianggarkan 87,000 banduan, ada lebihan 12,000 orang.
“Jika penjara sesak, potensi penyakit tinggi dan mungkin boleh mencetuskan pergaduhan disebabkan keadaan tak selesa. Bila kita tempatkan mereka melalui kaedah ini, mereka dapat pekerjaan, boleh assimilasi dengan komuniti dan majikan sudah tak perlu bawa pekerja asing dari luar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sesi Dialog Bersama Menteri KDN di FOZ One di sini hari ini.
Kata Saifuddin, inisiatif yang dilakukan pihak kementerian melalui Jabatan Penjara ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan majikan kerana jimat dan tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi membawa masuk pekerja asing dari luar negara.
Setakat ini, lebih 900 majikan dari pelbagai sektor seperti perkhidmatan, perladangan, pembuatan dan sebagainya kecuali membabitkan sektor keselamatan.
Sejak pelaksanaan pengambilan pekerja dalam kalangan banduan warga asing dilakukan, beliau berkata, kadar residivisme adalah lebih dan data menunjukkan banyak faktor positif daripada pelaksanaannya.
Tambahnya, dalam proses itu, majikan perlu patuh syarat menyediakan tempat tinggal kerana mereka ilsecara teknikalnya masih individu yang menjalani hukuman penjara.
“Ada juga modul di mana kita sewakan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menempatkan mereka ini selain mengawal pergerakan mereka. Pada siang hari, mereka boleh pergi kerja macam biasa.
“Yang menjadikan saya yakin bahawa ini keputusan yang betul adalah status residivisme mereka, statistik menunjukkan setiap 800 yang bebas, hanya satu sahaja yang mengulangi perbuatan jenayah,” ujarnya.
Saifuddin berkata, tidak semua banduan warga asing layak malah perlu melalui tapisan di mana panel penjara akan membuat saringan seperti pertama kali melakukan kesalahan, berkelakuan baik sepanjang tempoh pemenjaraan dan tidak ada masalah disiplin.
Selepas itu mereka perlu melalui proses melibatkan keputusan mahkamah sebelum ditawarkan kepada majikan yang berminat, ujarnya.
Terdahulu beliau melakukan lawatan dan meninjau kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura di Bukit Cagar, Johor Bahru hari ini. – MalaysiaGazette
















