KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong penuh inisiatif Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC) yang diterajui industri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menegaskan, kepentingan kepimpinan industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan tenaga kerja negara.
Menurut beliau, GTPC menyediakan platform tersusun yang mampu mengukuhkan hubungan antara industri dan institusi TVET menerusi latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja serta penempatan pekerjaan.
“Pendekatan diterajui industri ini akan menyokong pembangunan ekosistem TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) yang lebih responsif dan berorientasikan permintaan semasa industri,” katanya.
Beliau berkata, GTPC juga selari dengan keutamaan strategik kementerian khususnya dalam aspek kebolehpasaran graduan, penglibatan industri dan kesiapsiagaan tenaga kerja selain melengkapkan laluan pendidikan kepada pekerjaan peringkat nasional.
Adam Adli berkata demikian semasa berucap pada pra-pelancaran Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC) di Damansara hari ini.
Sementara itu, GITC melihat GTPC sebagai platform nasional jangka panjang yang mampu memperkukuh pemilikan industri dalam pembangunan bakat sekali gus menyokong transformasi ekonomi negara melalui penyediaan tenaga kerja mahir dan bersedia industri.
GTPC dibangunkan sebagai platform nasional bersepadu yang menyokong penempatan latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), program perantisan, padanan pekerjaan graduan serta pembangunan bakat jangka panjang.
Inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan ketidakselarasan penempatan, meningkatkan kualiti latihan industri dan memperkukuh penglibatan sektor industri dalam melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk pasaran pekerjaan.
Dengan sasaran penyertaan 10,000 syarikat, GTPC mencerminkan komitmen kolektif industri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan negara.- MalaysiaGazette
















