Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lima Ahli Parlimen parti itu yang dikenakan tindakan semalam dapat mengambil pengajaran daripada hukuman tersebut.

Beliau turut berharap kesemua mereka dan kembali memperkukuhkan komitmen terhadap perjuangan parti dengan berpegang teguh kepada perlembagaan Bersatu, menjaga keharmonian organisasi serta bersama-sama memperhebatkan kekuatan parti.

Terdahulu, katanya, beliau yakin Lembaga Disiplin parti telah melaksanakan tugas mereka secara profesional, bebas dan adil, serta berpandukan Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.

Selain itu, ujarnya, beliau juga percaya tindakan dan hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin adalah wajar kerana pihak-pihak yang terlibat difahamkan telah melanggar peruntukan dalam perlembagaan parti, Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti, disiplin parti serta keputusan-keputusan rasmi parti.

“Malah, terdapat juga dalam kalangan mereka yang melanggar lafaz sumpah dan baiah sebagai wakil rakyat parti yang dilafazkan dengan nama Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau percaya kesemua mereka yang dihukum itu memahami akan pelanggaran perlembagaan dan disiplin yang telah mereka lakukan, serta telah diberi ruang untuk membela diri dan menyatakan sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin.

“Alhamdulillah, hari ini BERSATU semakin kukuh dan harmoni apabila terus dibarisi oleh ahli-ahli yang setia kepada perjuangan, bertindak dalam lunas perlembagaan dan disiplin parti, mempertahankan institusi dan keputusan parti, serta lebih fokus untuk mengukuhkan parti dan memperkemaskan persiapan parti bagi menghadapi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya.

Semalam, Bersatu dalam kenyataan memaklumkan pemecatan dua ADUN parti itu iaitu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Sementara itu, lima Ahli Parlimen turut digantung iaitu Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut digantung ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Pada masa sama, tiga Ahli Parlimen menerima notis amaran pelanggaran disiplin parti iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).

Tindakan itu diambil susulan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika Bersatu yang didakwa dilakukan oleh mereka.

“Pihak Lembaga Disiplin tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib yang lebih berat sekiranya tingkah laku ini berulang,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast