KUALA LUMPUR – Penyebaran dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ yang didedahkan kepada media selepas dibentangkan dalam satu perjumpaan kira-kira 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya baru-baru ini kini mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan parti itu.
Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak yang sehaluan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, sekali gus membuka ruang spekulasi berhubung motif sebenar di sebalik pendedahan berkenaan.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol mendakwa naratif yang dibawa melalui dokumen itu seolah-olah menggambarkan PKR berada dalam keadaan lemah tanpa kelompok tertentu dalam parti.
“Ini kerana ia secara jelas haluan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang cuba menyampaikan kepada seluruh anggota parti bahawa tanpa mereka (haluan Rafizi), PKR berada dalam keadaan yang lemah dan akan gagal jika memasuki gelanggang PRU16,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, rakyat juga boleh menilai sendiri mesej yang cuba dibentuk melalui penyebaran dokumen tersebut, yang menurutnya bukan sekadar laporan dalaman biasa.
Sebaliknya, Dzul Hilmi mendakwa ia disusun untuk membina persepsi bahawa PKR sedang berdepan kelemahan dalaman, yang kononnya berpunca daripada kepimpinan tertentu dalam parti.
“Apa yang menghairankan ialah naratif yang dibina sangat selari dengan gerakan politik kelompok tertentu yang sejak kebelakangan ini dilihat lebih gemar bermain persepsi dan tekanan media berbanding memperkukuhkan parti dari dalam.
“Jika benar ada pihak yang membocorkan dokumen dalaman kepada media, tindakan itu amat tidak bertanggungjawab kerana ia memberi peluru kepada lawan politik untuk menyerang PKR,” jelasnya lagi.
Dzul Hilmi menegaskan, budaya politik seperti itu hanya akan melemahkan parti menjelang PRU16, selain menjejaskan keyakinan akar umbi serta rakyat terhadap kestabilan PKR.
“Saya juga berpandangan, mana-mana pemimpin yang benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi sepatutnya memperkukuhkan parti secara kolektif, bukannya membina naratif seolah-olah parti hanya kuat apabila berpihak kepada kelompok tertentu dan lemah apabila kehendak politik mereka tidak dipenuhi,” katanya.
Tambah beliau lagi, PKR bukan milik mana-mana individu atau kem, sebaliknya dibina atas perjuangan bersama sejak sekian lama.
“Sebab itu saya percaya majoriti anggota mahukan politik yang matang, stabil dan berorientasikan kemenangan parti, bukannya permainan persepsi yang akhirnya hanya memecahbelahkan saf perjuangan sendiri,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan mengenai analisis strategik PRU-16 melibatkan 66 kerusi Parlimen yang dibentangkan dalam kalangan pimpinan PKR, yang turut mendedahkan cabaran semasa parti itu di beberapa kawasan utama.
Dokumen tersebut dikatakan memberi gambaran bahawa PKR kini berada dalam fasa berjaga-jaga, dengan penguasaan di beberapa kerusi penting dilihat semakin terhakis menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette
















