Aktivis Global Sumud Flotilla dari Brazil, Thiago Avila. Foto AFP

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin Global Sumud Flotilla (GSF), Thiago Ávila dan Saif Abukeshek dijangka dibebaskan daripada tahanan Israel hari ini selepas lebih seminggu ditahan pihak berkuasa negara itu.

Badan hak asasi manusia Adalah memberitahu, agensi perisikan Israel, Shabak telah memaklumkan kepada pasukan peguam mereka bahawa kedua-dua aktivis itu akan diserahkan kepada pihak imigresen Israel sebelum proses pengusiran keluar dari negara berkenaan dilaksanakan dalam beberapa hari lagi.

Adalah berkata, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan tersebut bagi memastikan proses pembebasan dan pengusiran berjalan lancar.

“Ávila dan Abukeshek diculik tentera laut Israel sebelum ditahan secara tidak sah selama lebih seminggu selepas dibawa ke pusat tahanan Israel, sejak awal pagi 30 Mei lalu,” kata badan peguam itu dalam satu kenyataan.

Adalah turut memaklumkan, Thiago dan Saif ditahan ketika berada di atas kapal berbendera Itali, sekali gus meletakkan mereka di bawah bidang kuasa Itali.

Tegasnya, tindakan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan kerajaan Itali juga telah mengutuk tindakan Israel itu sebagai tidak sah.

Tambahnya, sepanjang tempoh tahanan, kedua-dua aktivis berkenaan ditempatkan dalam pengasingan penuh serta berdepan layanan berbentuk hukuman walaupun misi mereka bersifat aman dan awam.

Malah, kedua-duanya dilaporkan melancarkan mogok lapar sejak hari pertama ditahan, manakala Abukeshek turut meningkatkan protes dengan enggan minum air bermula 5 Mei lalu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast