ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut, seorang lagi lelaki parah manakala seorang lagi menghilangkan diri selepas ditembak di sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pukul 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.
“Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan.
“Turut dipercayai seorang lagi mangsa mengalami kecederaan namun masih belum dikenal pasti kerana dibawa oleh kenalannya selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau meminta mangsa tampil untuk membantu siasatan, pihak polis sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan 12 kali sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Komisioner Afiq Izani 019-3683036.
Tambahnya, boleh juga menghubungi pusat kawalan daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622@hotline 07-5114486.
Terdahulu tular beberapa foto memaparkan tempat kejadian dan seorang lelaki terbaring ditembak dalam media sosial.– MalaysiaGazette
















