KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan dua puluh tajuh pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa premis makanan sekitar bandar raya ini pada 8 Mei lalu.
Operasi bermula kira-kira pukul 3 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Negeri Johor dengan sasaran terhadap premis makanan di lokasi tumpuan.
Menurut kenyataan JIM Johor, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan, pemantauan dan aduan awam berkaitan majikan yang dipercayai menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah.
“Pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas pekerja warga asing dan majikan bagi mengesan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan bekerja tanpa permit sah,” menurut kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan awal mendapati seramai 27 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal dan enam wanita warga Myanmar.
Kesemua individu berusia antara 19 hingga 46 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak di premis terbabit.
JIM Johor turut memberi amaran tegas bahawa tiada lagi ruang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadikan premis perniagaan sebagai ‘lubuk’ menggaji PATI demi mengaut keuntungan mudah.
Menurut jabatan itu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan, penjaga premis dan warga asing yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette














