Ayob Khan Mydin Pitchay

GEORGE TOWN – Polis menafikan dakwaan berlaku layanan double standard dalam tindakan terhadap seorang lelaki warga emas yang dibebaskan dengan jaminan polis selepas terbabit dalam kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Petaling Jaya, Selangor.

Dakwaan itu timbul susulan kes membabitkan pemandu van berusia 61 tahun yang direman dan didakwa kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang murid Tahun Dua di Batu Pahat, Johor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setiap tindakan diambil berdasarkan pertimbangan kes demi kes termasuk faktor kesihatan dan keadaan individu yang ditahan.

Menurutnya, lelaki itu mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk menjalani rawatan dialisis menyebabkan polis membuat pertimbangan untuk tidak menempatkannya dalam lokap.

“Kita tengok kes by kes. Umur dia pun sudah 72. Dia ada macam-macam penyakit. Kalaulah dia ini kita reman, masuk dalam lokap kita, dia nak dapat rawatan dialisis dan sebagainya macam mana? Sebab itu kita bagi jaminan.

“Dalam kes di Batu Pahat pula, suspek berusia 61 tahun itu sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan serius, jadi polis meneruskan permohonan reman terhadapnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti & Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, polis perlu menggunakan pertimbangan sewajarnya dalam setiap kes dan tidak boleh membuat keputusan secara umum tanpa melihat keadaan individu terbabit.

“Kalau katakan lelaki tersebut meninggal dalam lokap, jadi isu lain pula. Kenapa polis tak pertimbangkan dia ini sudah tua, sudah sakit?

“Kecuali dia ada bunuh orang, itu lainlah,” katanya.

Menurut beliau, siasatan tetap dijalankan secara profesional berdasarkan fakta, bukti, tahap kecederaan serta keadaan kesihatan individu yang terlibat.

So benda-benda macam ni insya-Allah kita akan menjalankan siasatan lengkap dari sudut bukti, tahap kecederaan, faktor kesihatan dan sebagainya.

“Kita tidak akan double standard ataupun bias. Kita bertindak secara profesional,” katanya.

Beliau turut menegaskan, polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kesalahan.

“Tidak ada tolak ansur. Mana-mana yang terlibat, saya cakap tegas dan jelas,” katanya.

Media pada 6 Mei lalu melaporkan lelaki warga emas yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal hingga mengakibatkan penunggangnya maut dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, lelaki tempatan berusia 70-an itu ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast