KUALA LUMPUR – Seramai 44 warga asing ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan imigresen di tapak pembinaan sebuah bangunan perniagaan di Bandar Darulaman, Jitra dekat Kubang Pasu, Kedah semalam.
Operasi dikenali sebagai Ops Sapu itu dijalankan Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah hasil maklumat awam dan risikan.
Menurut JIM Kedah, operasi bermula kira-kira 10.50 pagi membabitkan seramai 12 pegawai penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan terhadap 47 individu yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan 44 warga asing mendapati kesemua warga asing terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Tangkapan melibatkan 39 warga Bangladesh, empat warga Indonesia dan seorang warga India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aantara kesalahan dikesan termasuk tinggal lebih masa, salah guna pas serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua orang kena tahan (OKT) berusia antara 22 hingga 44 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, pihak JIM turut mengeluarkan satu Borang Imm.29 iaitu saman kepada saksi bagi membantu siasatan.
JIM Kedah berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negeri terutama di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen.- MalaysiaGazette
















