\KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan atas nama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengenai ‘hilang kepercayaan’ terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat politik dan sengaja untuk mencetus kekeliruan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata penafian ia bukan pendirian rasmi organisasi itu membuktikan bahawa terdapat sebilangan individu menggunakan platform tersebut untuk membawa agenda tertentu namun tidak mewakili suara majoriti mahasiswa PKR.
“Malah ramai dalam kalangan pimpinan dan warga MKM telah tampil secara terbuka menyatakan bantahan dan kritikan tegas terhadap tindakan berkenaan yang jelas bercanggah dengan semangat asal gerakan mahasiswa itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan maklumat terkini baru-baru ini, terdapat kekeliruan dan penafian rasmi mengenai kenyataan yang dikeluarkan atas nama MKN berkaitan Perdana Menteri.
Namun MKM secara rasmi menyatakan kekal menyokong penuh kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR dalam masa yang sama mengesahkan terdapat beberapa individu menggunakan nama organisasi tersebut untuk agenda peribadi.
Sehubungan itu, MKN memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan nama platform mahasiswa berkenaan.
Mengulas lanjut, Danish menegaskan, MKM bukan sayap rasmi parti dan tidak ditadbir secara langsung oleh PKR.
Sebaliknya jelasnya, sejak ditubuhkan ruang autonomi dan kebebasan diberikan terhadap MKN selaras dengan prinsip gerakan mahasiswa yang bebas, kritikal dan matang termasuk terhadap pihak yang dekat dengan parti sendiri.
Walaubagaimanapun katanya, kebebasan itu tidak boleh dijadikan untuk melakukan sabotaj dalaman demi mencipta persepsi murahan dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu
tertentu.
“AMK percaya majoriti anak muda dan mahasiswa masih memahami sempadan perjuangan, disiplin organisasi serta tanggungjawab moral dalam membawa suara rakyat.
“Fokus kita hari ini adalah memastikan suara anak muda terus menjadi kekuatan membina masa depan Malaysia, bukan diperalat sebagai alat permainan politik sempit pihak tertentu yang ketandusan prinsip dan arah perjuangan,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















